Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

KSP RMK12: “Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera Dan Berpendapatan Tinggi”

By 12 September 2023September 13th, 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hisham Salleh/Afiq Hambali

PUTRAJAYA, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan sedang mempersiap negara bagi menempuhi fasa kedua Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), yang diberi tema “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” — dengan tiga tumpuan utama, yakni memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan KSP RMK12 di Parlimen, semalam, sebanyak 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara yang disasarkan.

“Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, pembentangan  ini akan dicerakinkan melalui 12 penegasan yang menjadi inti pati kepada KSP RMK12 dan distrukturkan mengikut 3 tumpuan utama,” ujarnya.

Datuk Seri Anwar juga berkata, KSP RMK12 dijajarkan semula dengan aspirasi dan visi Ekonomi MADANI, yang dibentangkannya pada 27 Julai, bagi merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun serta memacu pembangunan negara dan memperkasa kualiti hidup rakyat.

“Negara kini di persimpangan sama ada mengekalkan dasar dan kaedah lama atau melaksanakan islah (perubahan). Perubahan ini harus mencakup rangka memperbaiki tata kelola, melakukan anjakan dasar, dan memperkenalkan kaedah serta pendekatan baharu mengikut tuntutan semasa,” katanya.

Tambahnya lagi, anjakan secara tegas dan menyeluruh perlu dilakukan oleh Kerajaan yang diterajuinya sejak Disember 2022, bagi mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan ekonomi yang betul.

“Anjakan bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam.”

KSP RMK12 menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh, dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman, dan juga miskin-kaya yang masih wujud, ‘hutang yang membengkak’, ruang fiskal terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

-HS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda