Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perkhidmatan KTM Komuter Utara Kuala Kangsar Dapat Sambutan Baik

By 29 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurizzati Hanis (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Pembukaan tiga stesen komuter baharu bagi laluan utara oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak 16 September lalu mendapat sambutan yang baik daripada pengguna khususnya melibatkan dua stesen di daerah ini iaitu Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Tinjauan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan KTM Komuter Utara menjadi pilihan orang ramai terutama golongan pekerja dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengurus Stesen KTMB Kuala Kangsar Zulhaizat Yaakob, berkata perkhidmatan komuter ini memberi akses yang lebih mudah kepada orang awam untuk melawat Kuala Kangsar yang sememangnya terkenal dengan kepelbagaian yang menarik termasuk bangunan warisan dan makanan enak selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Sepanjang pembukaannya, jumlah peratusan pengguna sangat tinggi dan ini menunjukkan sambutan yang baik. Di samping itu, penduduk di luar daerah yang bekerja dan belajar di sini juga menarik nafas lega kerana dapat menjimatkan masa dan wang ringgit terutama kepada mereka yang berulang-alik menggunakan kenderaan sendiri,” ujarnya ketika ditemu bual.

Pengguna komuter Muhamad Abdul Hadi, 37, amat bersyukur dengan pembukaan stesen baharu ini kerana dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan hariannya bersesuaian dengan kadar tambang rendah yang dikenakan oleh KTMB.

-ZS-

Tinggalkan komen anda