
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah melancarkan program Kemahiran Asas Sukan Renang (KLAS Renang) Fasa 2 di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, di sini pagi tadi.
Objektif program antara lain ialah untuk membina keyakinan dan mengurangkan ketakutan di dalam air serta membudayakan gaya hidup sihat dan aktif menerusi aktiviti berenang.
Menurut Hannah, Fasa 1 telah berjalan lancar di 18 lokasi yang merupakan kawasan panas di mana kerap berlaku kejadian lemas dan seramai 739 kanak-kanak telah menamatkan enam kelas dengan 96 peratus menguasai kemahiran berenang.
“Fasa 2 dimulakan hari ini dan dikembangkan ke 36 lokasi ke seluruh Malaysia dengan penyertaan seramai 5760 kanak-kanak yang berumur dari 6 hingga 12 tahun.
“Kelas renang menjadi keutamaan kerana di Malaysia sering berlaku banjir dan kita mahukan kanak-kanak dijaga dengan elok serta mempunyai kemahiran asas renang,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nazri Jamali, 46, yang menemani anaknya Ashsahari, 9, berkata beliau mengetahui mengenai program ini melalui media massa.
Katanya, program yang dianjurkan khas untuk kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40 memberi peluang kepada beliau untuk mendedahkan anaknya kepada kemahiran berenang secara percuma.
“Saya juga sangat gembira dan bersyukur kerana anaknya turut dibekalkan dengan baju renang dan gogal serta diberikan perlindungan insurans,” ujarnya.
-ZS-