
Laporan/foto: Nur Farhana Azman/FB Fairul Nizam Roslan Along (Jasin)
MELAKA, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Jasin meriah dengan kehadiran warga Jasin di Taman Kekal Pengeluaran Selandar pagi tadi.
Pelbagai acara menarik disajikan untuk menarik minat pengunjung tempatan antaranya pertandingan mewarna kanak – kanak, pertandingan gubahan bunga, pertandingan teka berat buah dan pelbagai lagi. Terdapat juga pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi, pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma dan gerai jualan hasil pertanian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka Muhamad Akmal Saleh, seramai 223 orang usahawan tani di bawah bimbingan Pejabat Pertanian Daerah Jasin menerima bantuan input pertanian sejumlah RM2.26 juta.
“Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai lagi untuk menceburi bidang pertanian sekaligus meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di negeri ini. Semoga peluang-peluang seperti ini dapat memberikan suntikan baharu khususnya industri agromakanan bagi menjamin bekalan makanan negara,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka merangkap Fairul Nizam Roslan, Pegawai Daerah Jasin Rahizi Ranom, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib dan Pegawai Pertanian Daerah Jasin Nur Hafizah Mohd Zin.
-ZS-