Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Memburu Si Baung Merah

By 4 September 2023September 5th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Muhammad Jamil

LIPIS, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Baung Ekor Merah yang berasal dari Sungai Mekong, Vietnam, menjadi buruan dalam Pertandingan ‘Moh Nangkap Baung Ekor Merah’ yang diadakan di sepanjang sungai di daerah Lipis, pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Kewujudan spesis berkenaan di perairan sungai Malaysia dilihat mengganggu ekosistem kerana ia merupakan pemangsa yang agresif dan memakan hampir semua jenis ikan dan hidupan lain. Justeru Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah mengambil initiatif dengan menganjurkan pertandingan berkenaan sebagai acara tahunan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut hadir, berkata sebanyak 10,800 ekor benih ikan yang terdiri daripada kelah, patin buah dan lampam sungai akan dilepaskan ke perairan Sungai Jelai.

“Saya amat berbangga kerana Santuari Tanjung Gahai terpilih dan antara santuari yang berjaya dalam pertandingan ini,” katanya.

Selain program berkenaan, Jabatan Perikanan turut berusaha dalam memastikan pertambahan stok ikan ke perairan umum melalui program Pelepasan Benih Ikan yang telah dilakukan secara berkala dan berterusan di negeri Pahang.

Zulamin Jaafar, 41, telah dinobatkan sebagai juara dalam kategori ‘Ikan Terberat’ dengan hasil tangkapan 20.95 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, manakala bagi kategori ‘Tangkapan Terbanyak’ pula, Suhainan Md. Simen, 46, telah menjadi juara dan memenangi wang tunai berjumlah RM2,000.

Pada majlis yang sama penyerahan cek cura Pemadanan Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) berjumlah RM417,000 turut diserahkan serta seramai 32 orang penerima Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang telah diraikan dengan jumlah keseluruhan sumbangan berjumlah RM512,644.

-ZS-

Tinggalkan komen anda