
Laporan/foto: Mohd. Yusof Haji Abd. Samad
TANGKAK, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 1,500 umat Islam hadir sempena Program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tangkak Tahun 2023, di sini semalam.
Pegawai Kadi Daerah Tangkak As Syeikh Kairuddin Salimin yang menyampaikan tazkirah dan perkongsian ilmu mengajak umat Islam agar memperbanyakkanlah selawat kerana ia adalah tanda cintakan Nabi Muhammad SAW dan disukai Allah SWT.
“Lakukanlah dan perbanyakkan sedekah khususnya wakaf kerana dapat meningkatkan ketakwaan, dijauhkan daripada bala bencana malah mampu mengeratkan silaturahim antara sesama kita,” katanya.
Tunku Putera Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abu Bakar Alhaj Ibni Sultan Ibrahim yang hadir memeriahkan majlis di Masjid Bandar Tangkak itu turut berkenaan melancarkan Saham Wakaf Johor.
Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tangkak Muhammad Mohd. Nor, 41 dan bacaan berzanji oleh Lukman Hakim Mahadi, 35, bagi menyambut ketibaan kontijen perarakan Maulidur Rasul.
Turut hadir Pentadbir Tanah Tangkak Haji Nazid Jasmani, ketua-ketua jabatan serta pemimpin-pemimpin masyarakat.
-ZS-