
Laporan/foto: Nur Farhana Azman/FB Fairul Nizam Roslan (Jasin)
ASAHAN, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan bantuan persekolahan dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan anjuran bersama Yayasan Bank Rakyat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Asahan di Dewan Hang Kasturi, Selandar, di sini kelmarin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan sebanyak RM 20,000 diperuntukkan untuk 200 pelajar dalam DUN ini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi persekolahan pada tahun ini.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Yayasan Bank Rakyat atas bantuan sumbangan. Diharapkan dapat membantu meringankan beban ibu bapa disamping dapat memberikan semangat kepada anak-anak ini untuk menghadapi peperiksaan.
“Kita juga mendoakan agar calon-calon SPM terutamanya dalam kawasan DUN ini teruskan usaha dan usah berputus asa agar keputusan cemerlang dapat dicapai sekaligus dapat menaikkan peratusan lulus dengan cemerlang bagi sekolah-sekolah menengah di DUN Asahan ini,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat Yayasan Bank Rakyat Khairul Naim Ariffin, Pegawai Pendidikan Daerah Jasin Baharuddin Hussin Pengurus Bank Daerah Jasin Norulhisham Mohd Hassan, pemimpin-pemimpin masyarakat DUN Asahan dan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah di DUN Asahan.
-ZS-