
Laporan/foto: Nazira Naszeri/Lukmannul Hakim
JOHOR BAHRU, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu telah membawa khabar baik buat rakyat Malaysia menerusi insentif dan peruntukan yang diberikan berkaitan ekonomi, pembangunan masyarakat, kesihatan, infrastruktur, kediaman dan sebagainya.
Antara insentif yang telah dibentangkan adalah Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah dan peningkatan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM10 billion bagi sembilan juta penerima.
Seorang Penjawat awam Muhammad Iqbal, 39, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan 2024 yang telah mengumumkan insentif awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam.
“Apa yang kami harapkan untuk penjawat awam sebenarnya bukan sahaja sumbangan sebanyak RM2,000 tetapi kami juga mahu kenaikan gaji tahunan, elaun dan pencen bagi penjawat awam,” katanya.
Kamaruzaman Mohamad Shah, 56, turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah membantu keluarga yang terutamanya daripada golongan B40 menerusi kenaikan kadar bantuan STR pada tahun hadapan.
-ZS-