Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurMAPutrajaya

Kami bersamamu, Palestin!

By 25 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
PalestinRally

Laporan/foto: Hisham Salleh/Azali Syam Ariffin

Kuala Lumpur, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 16,000 peserta hadir menyertai program Himpunan Malaysia bersama Palestin, yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam — sekaligus menjadi saksi kepada solidariti rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, angkara kekejaman rejim zionis.

Program anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia, Global Peace Malaysia, dan Malaysian Humanitarian Aid And Relief, dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin, disusuli beberapa siri ucapan oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut hadir di perhimpunan tersebut, berkata, Malaysia akan terus memperjuangkan kebebasan Palestin, tanpa menghiraukan sebarang ugutan dari negara luar.

“Saya terima banyak ugutan…dan saya sebut kamu salah pilih orang. Selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak akan terima ugutan sebegitu. Bagi kita lawan tetap lawan!” ujar beliau.

Beliau turut menyelar sikap berat sebelah Amerika Syarikat yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine — tetapi bertindak menyokong Israel dalam isu pencerobohan Palestin.

“Ia satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia dan bayi, hospital dibom, sekolah dimusnahkan, ini tindakan kejam. Kita boleh lihat apabila Israel langgar Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba!” tegasnya.

Salah seorang peserta yang hadir, Asahad Acho, 30, menyatakan harapan beliau agar seluruh rakyat Malaysia menyahut seruan Perdana Menteri, untuk bersolidariti menentang kekejaman rejim zionis yg menindas hak kemanusiaan rakyat Palestin.

“Siapa boleh hidup jika bekalan asasi seperti bekalan makanan, air dan eletrik diputuskan? Tunjukkanlah kesepakatan tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik menentang kekejaman dan keganasan!”

Pada masa yang sama, Azali Syam Ariffin, 35, mengajak mereka yang masih memilih untuk berdiam diri, agar mula bersuara di laman media sosial, agar lebih ramai masyarakat di dunia sedar mengenai kebinasaan yang dibawa oleh rejim zionis.

“Kepada yang masih memilih untuk berdiri di atas pagar, sedarlah bahawa sudah ada banyak bukti kekejaman yang ditunjukkan oleh Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Ini bukan sekadar isu keagamaan, ini ada isu kemanusiaan sejagat!”

Selain orang awam, program turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara, pemimpin politik, dan disertai lebih 40 NGO seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief, Pertubuhan Ikram Malaysia, MyAqsa Defenders, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

Sehingga kini, dianggarkan hampir 5,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terkorban, manakala lebih 13,000 cedera susulan serangan rejim zionis.

Orang awam, warga korporat, ahli perniagaan serta NGO, yang ingin memberi sumbangan kepada rakyat Palestin, boleh disalur melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri:

No. Akaun: 86-0030248-9

Bank: CIMB Islamic Bank Berhad

Nama Akaun: Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin

-HS-

 

Tinggalkan komen anda