Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Belanjawan 2024: Desentralisasi Faktor Penting Rancakkan Pembangunan Sabah

By 27 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Mohd Rizal Matasan (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Dasar desentralisasi (penurunan kuasa) perlu dilaksanakan lebih agresif oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan peruntukan kepada Sabah melalui Belanjawan 2024 dapat diuruskan dengan cepat dan efisien.

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah Prof. Madya Dr. Firdausi Suffian, berkata peruntukan berjumlah RM6.6 bilion yang disalurkan Kerajaan Persekutuan akan mendukung sepenuhnya Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dilancarkan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Jelasnya dalam hal ini, kedua-dua pihak perlu mempamerkan kerjasama yang lebih strategik terutama dalam persediaan kerajaan negeri untuk melaksanakan autonomi dalam pentadbiran dan pengurusan projek pembangunan yang dirancang di negeri ini.

“Sebelum ini dasar desentralisasi belum ada, maka kerajaan negeri juga perlu bersedia dengan kapasiti serta keupayaan untuk menerima fungsi autonomi pentadbiran dan pengurusan agar keputusan dapat dibuat lebih cepat, ini akan berlaku secara berperingkat.

“Perbelanjaan mengurus di Sabah tinggi, negerinya besar, banyak daerah dan banyak lagi aspek pembangunan serta projek yang perlu dilihat dan diurus, jadi di sinilah bajet Kerajaan Persekutan ini penting RM6.6 bilion untuk membangunkan semua aspek jalan raya, sekolah, tenaga, infrastruktur dan pelbagai lagi,” katanya semasa sesi bual bicara Influencer@JaPen di sini pada Khamis.

Tambah Firdausi, kerajaan persekutuan masih perlu memberi fokus kepada usaha untuk mengurangkan karenah birokrasi agar pengurusan projek berkaitan infrastruktur khususnya berjaya dilaksanakan dengan segera demi kemaslahatan rakyat secara holistik.

“Kalau kita lihat pada statistik yang ada biasanya perbelanjaan itu sampai bulan September atau pada suku ke tiga atau suku ke empat perbelanjaan projek pembangunan sebelum ini tidak sampai 100 peratus, kadang-kadang tidak sampai pun 45 peratus kalau suku pertama atau misalnya tidak sampai 25 peratus untuk tahun tertentu.

“Jadi di sini dapat saya buat satu interpretasi bahawa karenah birokrasi itu masih ada, bagaimanapun di samping memenuhi agenda desentralisasi kerajaan persekutuan masih lagi perlu menilai dan memantau projek yang dibangunkan kerajaan negeri dalam masa yang sama mesti ada perancangan yang jelas termasuk elemen perbelanjaan yang terperinci,” ujarnya.

Untuk rekod, peruntukan pembangunan untuk Sarawak dan Sabah pada tahun 2024 telah ditingkatkan masing-masing kepada RM5.8 bilion dan RM6.6 bilion.

Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan juga menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

Sementara itu Kerajaan Persekutuan juga telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sabah berjumlah RM300 juta berbanding RM125.6 juta sebelum ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda