
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Perak)/Laman Web Kementerian Kewangan
IPOH, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober, Jumaat ini pastinya menjadi tumpuan seluruh negara.
Berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 Julai lalu Anwar, berkata kerajaan akan mengambil pendekatan baharu untuk Memperkasa Ekonomi Madani.
“Memperkasa Ekonomi Madani ialah dasar menyeluruh Kerajaan Perpaduan yang berhasrat untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini. Kerajaan beriltizam dan mahu mengangkat sebuah Malaysia Madani yang punyai azam global, berteraskan nilai Madani demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Majlis tersebut menjadi permulaan kepada siri jelajah libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan yang diadakan di seluruh negara sebelum Belanjawan 2024 dibentangkan.
Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Khairun, 39, berkata harapannya semoga kerajaan akan memberi tumpuan lebih kepada isu berkaitan kos sara hidup rakyat.
“Sebagai seorang kakitangan awam, saya amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan bukan sahaja pada tangga gaji malah pada elaun yang diberikan.
“Kos sara hidup yang menekan termasuk kenaikan harga barang menjadi cabaran utama bagi kami untuk meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya ketika ditemui, di sini pagi tadi.
Sementara itu, pelajar institut pengajian tinggi Rebecca Edward Anthony, 23, menyuarakan pendapat agar kerajaan mewajibkan pembayaran elaun bagi pelajar yang menjalani latihan industri sama ada di syarikat swasta atau agensi kerajaan.
“Pelajar latihan industri perlu diberikan elaun latihan sekurang-kurangnya bagi menampung kos perbelanjaan harian mereka termasuk pengangkutan, makan minum dan tempat tinggal,” tambahnya.
Bagi pekerja swasta Romainor Affendi Nordin, 51, Belanjawan 2024 harus mencakupi keperluan dan kehendak pelbagai lapisan masyarakat, tidak hanya tertumpu kepada satu golongan sahaja.
“Kebelakangan ini, bukan sahaja masyarakat B40 yang terjejas dan memerlukan bantuan. Sebilangan keluarga T20 dan M40 turut terkesan dan ia menjejaskan kualiti dan kelangsungan hidup mereka,” ujarnya.
-ZS-