
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)/Zamri Ibrahim (LADA).
LANGKAWI, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) telah mengadakan Kuah Graffiti Festival (KGF) X Meeting Of Styles (MOS) bermula 27 hingga 30 Oktober ini di Tapak Hospital Lama Kuah, iaitu lokasi yang akan dijadikan Galeria Karya Graffiti Langkawi.
Ketua Pengarah LPSVN Amerrudin Ahmad, berkata menerusi Program KGF, Balai Seni Negara Langkawi dengan kerjasama District Shop Gallery mengelolakan MOS Malaysia telah berjaya menghimpunkan seramai 50 orang artis yang melibatkan 29 orang artis Malaysia dan 21 orang artis antarabangsa dari 11 negara antaranya Indonesia, Thailand, Jepun, China dan Ireland.
“Mengetengahkan seni grafiti di Pulau Langkawi ini adalah sebagai salah satu titik sentuh kepada golongan muda untuk menarik minat dan mencipta potensi yang mungkin selama ini diminati, cuma tidak ada akses atau terhad untuk mendekati dan mempelajari seni ini.
“Kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Balai Seni Negara dan LADA, menghidupkan kembali Hospital Lama Kuah, yang sudah 11 tahun ditinggalkan kini diberikan nafas baharu oleh kumpulan grafiti ini ianya secara tidak langsung memberi satu daya terikan kepada pelancong untuk datang ke Langkawi dan juga limpahan ekonomi kepada anak-anak muda di Langkawi terutamanya yang meminati aktiviti seni ini,” ujarnya di sini kelmarin.
Turut hadir Pengurus Bahagian Perlancongan LADA Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.
-ZS-