
Laporan/foto: Hisham Salleh/Azlani Adani
Putrajaya, 14 Okt (Malaysiaaktif) – “Sudah menjadi fitrah manusia sekiranya ingin memulakan rutin baharu dalam hidup, memerlukan motivasi yang berterusan.” Itulah pesanan pertama yang diberikan oleh Azlani Adani, pelari maraton berpengalaman, kepada mereka yang ingin memulakan larian pertama mereka.
Menurutnya, motivasi adalah push factor utama kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan larian. Dalam konteks ini, beliau menyarankan pemain baru untuk menyertai kelab larian di komuniti masing-masing.
“Kelab larian bukan setakat kita berlari berkumpulan, tetapi kelab sebegini mempunyai jurulatih yang berpengalaman, pelan larian yang teratur, dan pakar pemakanan yang memberi nasihat mengenai diet yang terbaik. Mereka juga menyediakan rutin senaman yang bersesuaian dengan pemain baru.”
Seterusnya, Azlani menyarankan pemain baru untuk mendapatkan kasut larian yang bersesuaian dengan bentuk kaki. Hal ini kerana reka bentuk kasut memberi impak yang sangat besar, terutamanya terhadap tahap keselesaan dan kestabilan semasa berlari. Beliau juga mencadangkan pemain baru untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kasut sukan.
“Elakkan carbon plated shoes kerana kasut sukan sebegini tidak sesuai untuk pemain baru, kerana otot betis masih belum kuat. Kasut sebegini direka khas untuk pelari berpengalaman. Tambahan pula, ia agak mahal. Mahal tak semestinya sesuai untuk anda.”
Dalam masa yang sama, beliau mengalakkan pemain baru untuk menyertai program larian jarak pendek, seperti 5km atau 10km sebagai salah satu latihan kecergasan. Latihan sebegini juga memberikan gambaran atau ‘feel’ kepada pemain baru tentang situasi maraton yang sebenar.
Selain itu, Azlani turut berkongsi beberapa kaedah untuk pemain baru melatih kecergasan. Menurutnya, pelari boleh bermula dengan berjoging perlahan selama 30 minit.
“4 minit berjoging perlahan, 1 minit berjalan seperti biasa. Ulang sebanyak 6 kali sehingga cukup 30 minit. Rutin ini boleh dipraktikkan sehingga pelari mampu berlari selama 30 minit tanpa henti. Setelah itu, pelari digalakkan untuk berlari lebih lama mengikut kemampuan masing-masing. Great things take time. Jadi, anda perlu sabar.”
Tambahannya, pemain baru disarankan untuk berlari di awal pagi kerana larian pagi mampu meningkatkan metabolism, sekaligus memberi tenaga dan kecerdasan mental sepanjang hari.
“Pada peringkat awal, memang kita akan berasa penat sebab perlu bangun awal pagi, tetapi selepas seketika, badan kita akan beradaptasi dengan rutin baharu tersebut. Jadi, kita akan secara automatik mula tidur awal, dan tidur kita akan lebih berkualiti.”
Di samping itu, Azlani berkata, sukan larian adalah sukan yang paling mudah kerana pemain baru hanya memerlukan kasut untuk mememulakan larian pertama. Pelari juga boleh melakukan aktiviti larian di mana-mana kawasan. Walau bagaimanapun, beliau menyarankan pemain baru untuk berlari di taman-taman awam atas sebab keselamatan.
Ujarnya lagi, berlari adalah salah satu kaedah membakar kalori yang sangat berkesan, kerana ia melibatkan senaman kardiovaskular, yang mampu meningkatkan kesihatan jantung, dan membantu dalam pengurangan berat badan.
“Kalau anda seorang foodie, inilah sukan yang paling ideal. Anda boleh makan tanpa perlu risau mengenai kalori!”
Kesimpulannya, sukan larian adalah satu aktiviti sangat menyeronokkan, kerana ia boleh dilakukan bersama keluarga, rakan-rakan, dan orang tersayang.
“Bersempena Hari Sukan Negara 2023, saya berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia memilih gaya hidup sihat. Sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, sukan juga dapat mengeratkan perpaduan, kesejahteraan, dan keharmonian bangsa, dan agama.”
Majulah sukan untuk negara! Malaysia boleh!
-HS-