Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Henti Sebar Berita Palsu – Teo Nie Ching

By 16 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim/Muhammad Al Tarmizi Azmi

KULAI, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Orang ramai khususnya pengendali akaun portal dan media sosial diingatkan supaya lebih bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kandungan berita sebelum menyebarkannya.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, kementeriannya memandang serius perbuatan penyebaran berita palsu yang dilihat bukan sahaja boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, malahan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut boleh menggugat ketenteraman awam.

“Sebarang bentuk kandungan dan berita palsu boleh mewujudkan kerisauan, ketakutan dan kebimbangan awam,” kata Teo ketika ditemui pada Program Hebahan Info on Wheels (IoW) Khas Belanjawan 2024 anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kulai di Pasar Pagi Temenggong, di sini semalam.

Mengulasnya lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung sebaran berita palsu kononnya terdapat bom dijumpai di salah sebuah pusat membeli-belah dan hotel di Johor baru-baru ini.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Jabatan Penerangan mempergiatkan gerak kerja penyampaian dasar-dasar Kerajaan khususnya Belanjawan 2024 menerusi hebahan IoW dalam memberi penerangan dan edaran risalah kepada masyarakat setempat.

Hebahan Belanjawan 2024 dilihat amat wajar dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat informasi mengenai intipati Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda