Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

JIHAD Hingga ke Akar Umbi

By 9 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuriatina Tamat

KLUANG, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Program Roadshow Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD) telah diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam bagi memberikan kesedaran dan menggerakkan komuniti untuk membenteras dadah hingga ke akar umbi.

Tiga sesi bicara saku daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Kluang telah diadakan bagi memberikan sudut pandang berbeza kepada peserta dan klien AADK yang hadir, juga memberikan semangat serta nafas baru kepada klien agar terus bersemangat untuk pulih.

Menurut Pegawai Daerah Kluang Mohd Rafi Abdullah, penyalahgunaan dadah telah menjadi satu masalah serius yang dihadapi oleh setiap negara di dunia termasuklah di rantau nusantara dan dilihat mampu menjejaskan perkembangan sistem ekonomi, politik serta sosial bagi negara yang terlibat.

“Program JIHAD ini dilihat suatu inisiatif yang sangat releven dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di negeri Johor.

“Ia melibatkan beberapa strategi utama iaitu menerapkan pengetahuan dan kesedaran bahaya dadah, meningkatkan peranan dan menggerakkan komuniti dalam usaha membanteras dadah serta mengurangkan faktor risiko dan mempertingkatkan faktor pelindung kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak sama ada individu mahupun organisasi supaya dapat bersama-sama AADK untuk menangani permasalahan dadah ini.

“Saya percaya jika setiap lapisan masyarakat melaksanakan tanggungjawab ini sebagai satu jihad, nescaya Misi Dadah Terkawal 2025 pasti akan dapat dicapai,” katanya.

Turut diadakan penyampaian sijil kepada Penggerak Komuniti Kawasan Berisiko sekitar Daerah Kluang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda