Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Program ‘Community Based Security Management’ (CBSM) : Pembersihan Pantai Sungai Rengit dan Taklimat Jenayah Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (MAPO) telah berlangsung di Pantai Sungai Rengit semalam bagi memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti untuk menjaga kebersihan pantai serta mengurangkan pencemaran ekosistem marin.
Program anjuran Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor dan Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Johor ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kesedaran keselamatan secara menyeluruh, namun ia juga menjadi wadah untuk merapatkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil, berkata pendekatan yang diambil ini akan memberi nilai positif kepada masyarakat untuk memperkasa agenda kelestarian alam sekitar dan memperkukuh budaya bersih dan sihat dalam kalangan masyarakat.
“Diharapkan ianya akan dapat diteruskan pada masa akan datang bukan sahaja melibatkan kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan, tetapi juga turut melibatkan agensi swasta, komuniti setempat dan juga pelajar,” katanya.
Hazlina Jalil turut berpendapat bahawa sesi taklimat daripada JaPen Johor berkenaan Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran sedikit sebanyak memberi input tambahan kepada agensi kerajaan dan komuniti setempat untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memerangi jenayah penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia.
Turut hadir Setiausaha Majlis Perbandaran Pengerang Mohd Mckeen Mohd Shafie, Ketua Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor Noraini Abdullah, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Baniamin Abu Bakar dan Penolong Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Hizwan Othman.
-ZS-