
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)/Kolej Komuniti Kemaman
KEMAMAN, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Kemaman telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Teralogic Sdn Bhd, TM Cyber, Kolej Komuniti Ampang dan Kuala Lumpur City Center (KLCC) pada 4 hingga 7 Oktober lalu melibatkan pelajar Semester 2 dan 3 Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian Kolej Komuniti Kemaman.
Pensyarah Kolej Komuniti Kemaman Mariati Mad Saad@Shamsuddin, semalam memberitahu program lawatan berilmiah ke tempat industri memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman praktikal yang tidak dapat diperolehi melalui proses pembelajaran di dalam kelas.
“Pelajar dapat memperluaskan rangkaian sosial dan bertukar-tukar pendapat serta berpeluang berinteraksi dengan ahli-ahli akademik, industri penyelidik dan profesional dalam pelbagai bidang,” katanya.
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti Kemaman Muhammad Khuzairi Mohd Yusme, 19, berpendapat lawatan ilmiah ini memberi pengalaman yang sangat berharga bagi dirinya dan pelajar lain.
“Secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi kepada kami untuk terus belajar dengan lebih cemerlang dan program seumpama ini harus diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
-ZS-