
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
DUYONG, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah meningkatkan pendapatan lebih 150 usahawan di Melaka melalui latihan keusahawan digital di negeri Melaka.
Menurut Wakil Rakan Digital, PEDi Taman Sri Duyong Siti Nor Fahtia Mohd Zamani, usaha berterusan memperkasakan usahawan digital yang berinovatif dan berdaya saing menjadi misi utama PEDi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi usahawan terutamanya usahawan luar bandar.
“PEDi menerima peruntukkan RM25 juta dalam pembentangan belanjawan 2024 yang diumumkan baru-baru ini dan saya pasti peranan PEDi akan diperkasakan lagi sebagai pemangkin ekonomi digital dalam membantu usahawan kecil memasarkan produk mereka dengan lebih meluas,” ujarnya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka merangkap Ahli Undangan Negeri (ADUN) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halim, berkata PEDi juga memberi ruang kepada usahawan baru untuk menghadiri kelas keusahawanan bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
“Saya mendapat maklumat kebanyakkan PEDi berjaya membantu usahawan dalam memastikan produk mereka lebih berkualiti dan menambah nilai dalam sistem jualan terkini melalui platform digital,” katanya selepas merasmikan Program Kita Madani Peringkat Negeri Melaka, kelmarin.
-ZS-