Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Ketepi Perbezaan, Terus Kerjasama Jayakan Program Kenegaraan – Rithuan

By 24 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Semua pihak diseru untuk mengetepikan perbezaan dan terus bekerjasama menjayakan sebarang program berbentuk kenegaraan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Mohd Ismail kerjasama dan kesepaduan yang ditunjukkan sepanjang penglibatan dalam program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu ditingkatkan  dengan merentasi pelbagai perbezaan yang wujud di antara semua pihak.

“Kesepaduan ini perlu kita tingkatkan dan bukan sahaja tertumpu pada bulan-bulan tertentu sahaja kerana apa yang kita lakukan ini adalah sebahagian perjuangan memaknai kemerdekaan negara agar ianya berpanjangan serta dijiwai setiap lapisan masyarakat khasnya di pulau ini.

“Kita perlu melihat penganjuran serta penglibatan dalam program sebegini merupakan kesinambungan daripada kisah perjuangan tokoh–tokoh terdahulu dan amanah besar yang perlu kita pikul bersama dalam membentuk minda masyarakat agar cakna terhadap perasaan cinta kepada negara yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara kita,” katanya semasa merasmikan Majlis Kita Madani dan Apresiasi Semarak Gemilang 2023, di sini semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen daripada semua agensi kerajaan dan swasta, Majlis Perwakilan Penduduk, Komuniti Malaysia Madani, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan- rakan media menjayakan semua aktiviti sepanjang Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Labuan.

“Ini memperlihatkan kualiti warga dan agensi yang ada di Labuan yang saling bersatu padu dan bantu-membantu dalam sebarang aktiviti yang menyuburkan semangat cintakan negara, cintakan perpaduan serta cintakan keharmonian,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan hadiah Pemenang Anugerah Semarak Gemilang 2023 kepada Mohd Hazim Mohd Noor yang menerima wang tunai RM3,000.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda