
Laporan/foto: Nur Farhana Azman/Muhammad Zarul Afify (Jasin)
JASIN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 10 orang usahawan desa di daerah ini telah mengikuti Program Usahawanan Asas Digital Shopee di bawah Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bertempat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Tun Ghaffar, Ayer Kangkong, di sini semalam.
Menurut Pengarah Program Hamizan Hassan, objektif program untuk membuka laluan kepada usahawan-usahawan desa bagi memperkembangkan lagi perniagaan mereka secara dalam talian menggunakan platform Shopee.
“Selain itu, usahawan desa juga diberi galakan untuk meningkatkan lagi pendapatan dengan memasarkan perniagaan mereka secara lebih meluas di dalam talian melalui kursus-kursus yang diadakan.
“Ada di antara mereka sudah tahu mengenai perniagaan dalam talian tetapi masih lagi takut untuk menggunakan platform tersebut maka hari ini kami daripada pihak PEDI cuba untuk membantu dan meyakinkan mereka menggunakan platform ini. Harapan saya agar mereka yang hadir pada hari ini dapat sedikit sebanyak informasi bagi menjana pendapatan mereka dan terus berkembang luas dalam perniagaan dalam talian ini,” ujarnya.
PUPUK merupakan program anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Melaka (SKMM), Risda Melaka dan Pejabat Penerangan Daerah Jasin.
-ZS-