
Laporan/foto: Malini Md Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,000 beg beras putih tempatan pek 10 kilogram (kg) dijual kepada orang ramai dengan harga RM26.00 di Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin di perkarangan sebelah Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong Datuk Haji Zaifulbahri Haji Idris, berkata program tersebut membantu menangani masalah semasa iaitu kekurangan beras.
βSelain memastikan tiada masalah bekalan beras, jualanbarangan keperluan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran memberi manfaat masyarakat.
“Terima kasih kepada FAMA dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan semua agensi yang terlibat. Diharapkan program yang baik seperti ini kerap dilaksanakan,β katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang media khas Isnin lalu memaklumkan empat langkah intervensi tambahan oleh kerajaan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara mampu menyelesaikan masalah itu yang menjadi keluh kesah rakyat kebelakangan ini.
Intervensi itu termasuk meningkatkan pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) ke kawasan luar bandar dan subsidi RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) untuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Pegawai Pertanian Daerah Rembau Azizah Liman, program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin ini turut menawarkan 200 papan telur ayam, 50 kg ikan kembong, 35 kotak minyak masak, 600 ekor ayam, produk sayur-sayuran dan buah-buahan.
-ZS-