
Laporan/foto: Muhammad Lukmannul Hakim (Kulai)
KULAI, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 80 buah keluarga B40 di kawasan Parlimen Kulai telah menerima sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, pelbagai makanan kering, muruku berserta wang tunai sebanyak RM100 sempena sambutan perayaan Hari Deepavali.
Program Sumbangan Deepavali dengan kerjasama pasar raya Mydin tersebut telah disampaikan semalam oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
“Semoga sumbangan ini dapat menceriakan dan memberi kegembiraan kepada mereka untuk menyambut Hari Deepavali yang akan disambut nanti.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya bagi memastikan semua masyarakat di kawasan ini diberi layanan sama rata tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.
Syanti, 54, berkata dia berasa sangat gembira dengan pemberian sumbangan tersebut yang akan digunakan untuk persiapan ahli keluarganya menyambut Deepavali.
“Sumbangan ini sangat membantu masyarakat India, terima kasih diucapkan kepada Ahli Parlimen Kulai,” katanya.
Menurut Kunita, 42, sumbangan ini adalah hadiah sangat berharga buat diri dan keluarganya kerana ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan mereka sekeluarga.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern, Pengurus Mydin Wilayah Selatan Apparavoo Ramamorthi, Penyelaras Kawasan Pasar raya Mydin Johor Nik Azahiri Nik Asmadi dan Pengurus Pasar raya Mydin Kulai Mohd Khairul Azhar Mohd Noor.
-ZS-