
Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Kumpulan D’Voice Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Pilah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 setelah merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Nasyid Penjawat Awam Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Pertandingan nasyid anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAHEAINS) telah diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
Menurut Ketua Juri pertandingan Huzaimi Zaini yang juga merupakan ahli kumpulan nasyid NowSeeHeart pertandingan ini sekali gus dapat menonjolkan bakat para penjawat awam serta menjadi nilai tambah keberanian mereka selain melihat mereka melaksanakan tugas di jabatan masing-masing.
Sebanyak 14 buah kumpulan nasyid daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Sembilan telah bertanding dalam pertandingan yang julung kali diadakan di Negeri Sembilan dengan mengangkat ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ sebagai tema.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JAHEAINS Sanusi Abdul Hamid.
-ZS-