Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Misteri Kubur di Masjid Razaleigh Menarik Perhatian Pengunjung

By 16 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Muhammad Amirul Faisal Rostan

GUA MUSANG, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Masjid Razaleigh menjadi misteri dan menarik perhatian pengunjung kerana terdapat kubur di tengah ruang solat masjid tersebut.

Kubur itu dikatakan milik seorang wanita sarat mengandung lapan bulan yang meninggal dunia akibat ditembak ketika berlaku perang pada tahun 1943.

Masjid Razaleigh yang terletak di tengah-tengah kawasan pekan Bandar Lama merupakan masjid terawal dibina di Gua Musang dan pernah dijadikan masjid bandar.

Menurut Nik Hassan Nik Jaafar, 63, kubur tersebut adalah milik ibu saudaranya Nik Mah Nik Soh yang mati dibunuh dengan kejam pada zaman komunis ketika berusia dalam lingkungan 20-an.

“Saya sentiasa menjaga pusara ini dengan cara membersihkan secara berkala dan berharap agar ada pihak yang dapat membantu untuk menjadikan kubur ini sebagai mercu tanda serta keunikan masjid.

“Ini bukan kerana dia adalah ibu saudara saya tetapi ini merupakan peristiwa berdarah ketika zaman kekejaman komunis serta harus kekal menjadi bahan tinggalan sejarah buat generasi muda,” katanya.

Menurut Nik Hassan pada awalnya kubur ini berada di hadapan masjid dan masih dikekalkan di tempat yang sama semasa pembesaran dan naik taraf masjid.

“Cuma kubur ini telah ditutup dengan almari agar tidak mengganggu tumpuan jemaah yang datang bersolat,” katanya.

Sementara itu, jemaah Nor Amin Syafiq Ismail, 29, berkata pihak yang berkenaan perlu menguar-uarkan kewujudan kubur misteri ini untuk pengetahuan semua.

“Saya yakin lebih ramai lagi peminat sejarah akan datang dan masjid ini akan terus menjadi tumpuan,” katanya.

Mengikut sejarah tempatan, serangan komunis berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943 dan Nik Mah Nik Soh telah dibunuh bersama 25 orang yang terperangkap sewaktu berselindung dalam longkang berhampiran masjid itu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda