
Laporan/foto: Hisham Salleh
PUTRAJAYA, 1 Nov (MalaysiaAktif) – Kerajaan meminta kerjasama pengguna untuk melaporkan kepada pihak berkuasa, sekiranya terdapat peningkatan harga makanan yang tidak munasabah, susulan pengapungan harga ayam bermula hari ini.
Menurut Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, pada hari pertama pengapungan, harga tertinggi ayam yang dikesan di seluruh Semenanjung Malaysa, adalah RM11 per kilogram (kg) dan terendah RM6.49 per kg – lebih rendah berbanding harga siling yang pernah ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 per kg.
“Kalau harga makanan tinggi, sila buat aduan di platform yang disediakan. Kami akan periksa pembekal dari mana, berapa kos pengeluaran, margin keuntungan mereka sebelum diambil tindakan.” Ujar beliau selepas membuat pemeriksaan harga ayam di Pasar Raya Lotus’s, Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menjelaskan bahawa penamatan subsidi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini, memandangkan bekalan ayam dijamin mencukupi.
Pengguna yang mempunyai maklumat berkaitan harga barangan atau aduan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui WhatsApp di talian 019 279 4317 atau 019 848 8000, menerusi portal aduan eaduan.kpdnhep.gov.my, hubungi pusat kawalan 1 800 886 800, e-mel di [email protected] atau Ez ADU KPDN.
-HS-