Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Subsidi Tamat: Harga Ayam Masih Stabil di Kuala Lumpur

By 2 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Harga jualan runcit ayam di sekitar Kuala Lumpur masih lagi stabil dan tiada kenaikan walaupun subsidi bahan mentah itu ditamatkan bermula semalam.

Berdasarkan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, harga ayam di pasaran tempatan adalah sekitar RM9 hingga RM9.40 dan tidak melebihi harga siling yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 per kilogram.

Malah ada pasar raya yang menawarkan ayam segar pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pasar basah.

Misalnya di Lulu Hypermarket, ayam bulat dijual pada harga RM7.29.

Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur Ariffin Samsudin pengapungan harga itu membolehkan orang ramai mendapatkan ayam pada harga yang lebih rendah memandangkan ada persaingan harga yang lebih sihat.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, apabila harga diapungkan pasar raya dapat membeli stok ayam yang lebih banyak daripada pembekal.

“Jadi, mereka tiada masalah untuk tawarkan ayam segar pada harga yang lebih murah yang sudah pasti memberi manfaat kepada pengguna,” kata Ariffin ketika ditemui melakukan jelajah mesra di Lulu Hypermarket, Capsquare, di sini semalam.

Katanya lagi, orang ramai juga diseru melaporkan segera kepada KPDN sekiranya terdapat jualan ayam pada harga yang melampau untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Menurut Penolong Pengurus Bahagian Pembelian Lulu Fakaruddin Harun, pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pengapungan harga ayam dan ia membolehkan mereka untuk menjual ayam segar pada harga yang lebih murah kepada pelanggan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda