
Laporan/foto: Muhamad Amsyar/Hanizatul Azwa(Hilir Perak)
TELUK INTAN, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Siapa yang tidak mengenali Restoran Mastan Ghani di Teluk Intan yang cukup sinonim dengan hidangan istimewa turun-menurun iaitu Mi Rebus dan Rojak yang bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat setempat bahkan turut dikenali oleh masyarakat luar.
Menurut Pengurus Restoran Mastan Ghani Muhamad Khairuddin Anuardin, 22, menu Mi Rebus dan Rojak itu bermula sejak tahun 1942 yang diasaskan oleh datuknya, Mastan Ghani.
“Pada awalnya perniagaan hanya dijalankan secara kecil-kecilan namun makin mendapat tempat di hati pelanggan sehingga mempunyai empat cawangan di Teluk Intan.
“Perniagaan turun-temurun ini bermula daripada arwah datuk. Beliau telah menghasilkan resepi hidangan mi rebus dan rojak sebagai menu utama dan tidak sangka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui, kelmarin.
Katanya, pelanggan yang datang ke restoran bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah turut dikunjungi oleh pelancong dari luar negeri dan luar negara.
“Ini kerana lokasi restoran yang strategik berhampiran kawasan Menara Condong merupakan tempat tumpuan pelancong,” jelasnya.
Sementara itu, pengunjung yang mahu dikenali sebagai Abdul Razak, 60, berkata walaupun kini menetap di Negeri Sembilan namun dia tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke restoran itu jika berkesempatan.
“Saya salah seorang pelanggan tetap kerana saya berasal dari sini. Apabila tiba musim cuti persekolahan, saya akan pulang dan restoran ini telah menjadi tempat wajib untuk menjamu selera,” ujarnya yang datang bersama isteri, Siti Zaleha, 42.
Restoran ini beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
-ZS-