Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Ahli PUSPANITA Harus Tahu Peranan, Fungsi Jentera Kerajaan dalam Penganjuran Program

By 24 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Ahli-ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) perlu mengetahui peranan dan fungsi setiap jentera kerajaan dalam penganjuran sesuatu program.

Menurut Pengerusi PUSPANITA Cawangan Segamat Nurulasliza Salim, sepanjang tahun 2023, sebanyak 27 aktiviti telah dilaksanakan sama ada yang dianjurkan oleh PUSPANITA secara total atau secara perkongsian dengan lain-lain persatuan seperti HELWA, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI), Pandu Puteri dan jabatan-jabatan kerajaan.

“Untuk tahun 2024, PUSPANITA merancang dan menyusun pelbagai aktiviti dan program termasuk yang berbentuk kerohanian, keusahawanan, kesihatan, sukan dan lain-lain demi manfaat semua pihak.

“Saya menyeru kepada puan-puan yang hadir pada hari ini untuk mengambil peluang bersama-sama melibatkan diri dengan program yang akan diatur kelak sama ada di peringkat daerah atau pun negeri selagi mana ia tidak mengganggu tugas hakiki masing-masing,” ujarnya.

Nurulasliza berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Mesyuarat Agung PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat kali ke-30 di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini semalam.

Pengerusi persatuan tersebut turut menyeru warga persatuan tersebut mengambil peluang melibatkan diri dengan program yang diatur sama ada di peringkat daerah ataupun negeri selagi ia tidak mengganggu tugas hakiki sebagai penjawat awam.

Pegawai Daerah Segamat merangkap penasihat persatuan Mohd Masni Wakiman berharap PUSPANITA menjadi platform untuk kaum wanita mendapatkan pendedahan dari segi psikologi, ilmu pengetahuan, kerjaya, kerohanian, kebajikan kekeluargaan dan gaya hidup sihat.

“Saya meminta jasa baik Ketua-ketua jabatan untuk memberi pelepasan kepada kakitangan masing-masing dan juga harus peka dengan penglibatan kakitangan bagi setiap program yang dianjurkan oleh PUSPANITA,” katanya.

Katanya lagi, program untuk isteri-isteri seperti ceramah, seminar dan lawatan sambil belajar boleh dijalankan dari semasa ke semasa untuk memberi kefahaman kepada golongan isteri tentang peranan dan fungsi jentera kerajaan dari segi pentadbiran awam.

“Diharapkan PUSPANITA dapat menjalankan program yang memberi impak positif dan memenuhi objektif utama penubuhan iaitu untuk merapatkan perhubungan muhibah dan menyatupadukan isteri-isteri dan anggota wanita perkhidmatan awam di semua peringkat,” katanya ketika merasmikan program.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Mohd Helmi Datuk Sa’ari, Ketua-ketua Jabatan wanita di Segamat, Penghulu-penghulu Mukim dan ahli-ahli PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda