Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

JaPen WPKLP Giat Promosi PADU

By 24 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/PPD BBSP (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) mempergiatkan gerak kerja hebahan dan promosi mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan warga ibu kota memahami kepentingan pendaftaran sistem baharu itu.

Usaha menyebar luas maklumat PADU itu dibuat secara konvensional dan media sosial bagi memastikan pemasaran maklumat yang sahih dan tepat dapat disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Menurut Pengarahnya, Muhammad Najmi Mustapha, ini termasuklah hebahan Info on Wheels (IoW) dengan menggunakan unit bergerak jabatan yang telah mula menjelajah ibu kota khususnya di kawasan berkepadatan penduduk golongan B40 seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

“Kita telah mula melaksanakan hebahan IoW mengenai PADU sejak 8 Januari lalu dengan kekerapan dua hingga tiga kali sehari mengikut kawasan Parlimen yang telah dijadualkan.

“Hebahan melalui unit bergerak dan edaran risalah PADU dilihat dapat membantu meyakinkan warga Wilayah untuk memahami kepentingan pendaftaran dalam sistem baharu ini yang akan dijadikan asas untuk pemberian subsidi secara bersasar,” jelasnya semalam.

Katanya lagi, usaha JaPen WPKLP ini juga adalah sebahagian daripada komitmen untuk membantu Jabatan Perangkaan (DOSM) Wilayah Persekutuan dalam mempercepatkan proses pendaftaran disamping menghebahkan kewujudan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai lokasi rujukan untuk pendaftaran PADU secara fizikal.

“Di samping itu, hebahan secara media sosial juga dilakukan secara konsisten menerusi platform rasmi jabatan termasuk Facebook, X, Instagram dan TikTok,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda