
Laporan/foto: Marshita Binti Othman (Barat Daya)
BAYAN BARU, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Barat Daya menganjurkan Bengkel Design Thinking Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah bagi Mukim 12 Barat Daya di Hotel Seri Malaysia, Bayan Baru pada 24 Januari lalu.
Bengkel ini disertai oleh 50 orang peserta yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta pemimpin-pemimpin komuniti Mukim 12 Barat Daya.
Sebanyak lapan segmen telah diberikan kepada pecahan kumpulan peserta.
Antara pengisiannya adalah sesi sumbang saran, perbincangan kumpulan serta pembentangan idea daripada peserta bengkel.
Di bawah segmen sukan dan rekreasi, Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya akan bekerjasama erat dalam merealisasikan visi ‘Bebas Dadah’. Beberapa program telah dirancang dan pelaksanaanya adalah sekitar Mac hingga Mei 2024.
Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bukit Gedong Zaini Ahmad, berharap dengan adanya bengkel ini, perancangan program-program membasmi penagihan dadah akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan menepati keperluan komuniti setempat.
“Bengkel ini dianjurkan bertujuan merancang dan menghasilkan pelan tindakan bersepadu membanteras masalah penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan ini,” katanya.
Pegawai Daerah Barat Daya Mohd Hafiz Aswad Nadzri hadir merasmikan bengkel sebagai tanda komitmen dan kesungguhan dalam memastikan kawasan Mukim 12 Barat Daya bebas dari ancaman dadah.
Turut hadir Penolong Pengarah Pencegahan AADK Negeri Pulau Pinang Mohd Zaki Ablah dan Ketua AADK Daerah Barat Daya Ibrahim Muhamad Said.
-ZS-