Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Lambaian Kasih Agong, Raja Permaisuri Agong Esok

By 29 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Lambaian Kasih Agong, Raja Permaisuri Agong Esok

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)/Polis KL

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Orang ramai berpeluang untuk menyaksikan acara ‘state drive’ atau lambaian kasih  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berlangsung esok.

Acara kemuncak itu akan bermula sekitar pukul 10.00 pagi dari Dataran Parlimen ke Bulatan Dato’ Onn dan sebelum baginda berlepas ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid, sepanjang Jalan Parlimen sehingga ke arah Bulatan Dato’ Onn akan ditutup sepenuhnya seawal pukul 6.00 pagi bagi memberi laluan untuk pasukan pelambai yang terdiri 3,650 penjawat awam daripada pelbagai kementerian.

“Kenderaan persendirian dan orang awam yang ingin bersama-sama ke acara ‘state drive’ boleh meletakkan kenderaan di sekitar Taman Botani, kawasan meletak kenderaan bertingkat di Bukit Aman dan kawasan meletak kenderaan bawah Dataran Merdeka.

“Sebanyak tujuh laluan terlibat dengan penutupan penuh dan 13 laluan akan ditutup secara berperingkat,” kata Allaudeen pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Manakala bagi Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu ini, sebanyak lima laluan sekitar ibu kota akan ditutup sementara dan dibuka semula secara berperingkat bermula pukul 9.30 pagi.

Jalan yang terlibat antaranya Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata, Polis Kuala Lumpur menempatkan 1,463 kekuatan pegawainya bagi memastikan keselamatan dan kawalan lalu lintas sepanjang acara kebesaran negara selama dua hari ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda