Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Kebersihan Pantai Tanggungjawab Bersama, Kesedaran Berterusan

By 30 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Shuhaimi Ahmad  (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Program Kesedaran Kelestarian Pantai anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu telah diadakan di Pantai Batu Buruk, di sini kelmarin.

Lebih 80 orang peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini hadir bagi kerja-kerja pembersihan sampah di kawasan pesisir pantai tersebut.

Antaranya Jabatan Penerangan (JaPen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu.

Pengarah Keselamatan Negeri Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad, berkata program ini sebagai satu usaha membantu pihak MBKT membersih kawasan pesisir pantai yang dipenuhi sampah sarap akibat air pasang besar yang melanda baru-baru ini.

“Program ini juga diharap dapat memberi kesedaran dan menanam sikap bertanggungjawab kepada orang ramai terutamanya golongan belia untuk bekerjasama menjaga kawasan pantai ini,” ujarnya.

Sukarelawan AADK Daerah Kuala Terengganu Mohd Mustakim Razali, 36, berkata aktiviti pembersihan kawasan pantai seperti ini patut diadakan secara berkala agar kebersihan pesisir pantai sentiasa terjaga sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Terengganu.

Peserta dari MKN Terengganu Azffalyza Muda, 39, berharap agar pengunjung pantai dapat menjaga kebersihan untuk kepentingan dan kemudahan bersama.

“Selain pemandangan yang cantik dan menarik, kawasan ini juga sesuai untuk aktiviti riadah berkeluarga terutama pada hujung minggu,” katanya.

Sebanyak 130 bungkusan plastik yang dipenuhi sampah sarap telah berjaya dikutip.

-ZS-

Tinggalkan komen anda