
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Ashikin Mustafa
KOTA TINGGI, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di daerah Kota Tinggi semalam.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir yang mengiringi Baginda melawat tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) New Kota, PPS Sekolah Kebangsaan Laksamana dan PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi.
Seramai 157 keluarga yang terjejas banjir di ketiga-tiga PPS ini menerima sumbangan peribadi baginda selain sumbangan kit penjagaan kebersihan diri kepada setiap keluarga menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
Hujan lebat yang melanda daerah ini pada 4 Januari lalu telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan penduduk yang terjejas terpaksa berpindah ke PPS.
Setakat pukul 5.00 petang semalam sebanyak lapan PPS masih beroperasi menempatkan seramai 793 mangsa daripada 197 keluarga.
-ZS-