
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)/PDTBP
TAPAH, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang (PDTBP), jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batang Padang memperkasa operasi menyelamat melalui simulasi bencana insiden kepala air di Batu 14 Jalan Pahang, di sini semalam.
Menurut Pegawai Daerah Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, objektif utama program ini adalah memastikan agensi JPBD sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga yang tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan baik dari segi atur gerak kerja, logistik, aset dan keanggotaan.
“Latihan ini sebagai persediaan menghadapi bencana berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula bulan ini hingga Mac depan.
“Melalui simulasi ini juga, kita dapat lihat semua anggota bekerjasama dengan baik dalam melaksanakan penyelarasan tindakan pengurusan bencana dan akan dapat menambah baik lagi tindakan sekiranya perlu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Tapah Superitendan Mohd Naim Asnawi selaku Komander Operasi, berkata simulasi dilakukan di Lata Iskandar dan dilaksanakan mengikut situasi sebenar dengan insiden kepala air dan tanah runtuh di kawasan aliran lata yang menyebabkan tiga orang penumpang sebuah kenderaan dikhuatiri cedera dan hilang.
“Seramai 154 anggota di bawah JPBD terlibat dalam simulasi ini termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 4 Perak, Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Kesihatan, Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Penerangan Daerah dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Choong Shin Heng.
-ZS-