
Laporan/Foto: Azad Khan/FIH
PUTRAJAYA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Harapan skuad hoki lelaki negara untuk mengutip mata di aksi sulung kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 punah, apabila tewas di tangan China 3-2 pada saingan peringkat Kumpulan A di Muscat, Oman malam tadi.
Kekalahan tersebut menambah lagi duka buat skuad Speedy Tigers apabila gagal membalas dendam atas kekalahan di Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu.
Dalam aksi dramatik yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, skuad bimbingan Arul Selvaraj menerima tentangan sengit China di awal babak permainan, sebelum berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-29 menerusi jaringan padang Azrai Aizad Abu Kamal.
Namun, Speedy Tigers tidak kekal lama di hadapan, apabila pasukan China bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi Lin Changliang, yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, dan gol padang Chao Jieming tiga minit selepas itu, meletakkan China di hadapan dengan kedudukan 2-1.
Selepas itu, kedudukan terikat 2-2, apabila Razie Abdul Rahim berjaya menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-47, namun China terus mengasak dan membuat Speedy Tigers berputih mata apabila Gao Jiesheng muncul wira pasukan China apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-60, mengesahkan kemenangan China 3-2.
Malaysia perlu bangkit untuk perlawanan seterusnya bertemu Great Britain bagi membuka semula peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024, di Muscat ini merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, dengan hanya tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya tertinggi dunia itu.
Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi di Sukan Olimpik ialah di Sydney pada 2000.
-AZ-