Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Tamparan Hebat Buat ‘Harimau Malaya’

By 16 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Azad Khan/FAM

PUTRAJAYA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Skuad Harimau Malaya memulakan kempen Piala Asia 2023 Qatar dengan langkah kiri apabila tumbang 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan sulung peringkat kumpulan, dengan bekas import Kedah Darul Aman FC Mahmoud Al-Mardi, muncul wira Jordan, dalam aksi Kumpulan E awal pagi tadi.

Stadium Al-Janoub, Al-Wakrah menjadi saksi kesukaran skuad Harimau Malaya menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan yang menyaksikan mereka ketinggalan 0-2 dalam 18 minit permainan.

Skuad The Chivalrous Ones bimbingan Hussein Ammouta membuka tirai jaringan menerusi rembatan lencong Al-Mardi pada minit ke-12, sebelum Mousa Al-Tamari menyempurnakan penalti enam minit kemudian.

Pengadil perlawanan Mohammed Abdulla Hassan dari UAE memberikan sepakan penalti tersebut selepas meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR) sejurus Yazan Al-Naimat dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh ketua pasukan negara, Matthew Davies.

Jordan terlepas peluang untuk melebarkan jurang gol apabila jaringan Al-Tamari pada minit ke-25 dibatalkan selepas pengadil sekali lagi menggunakan keputusan VAR.

Namun, kekecewaan mereka terubat pada minit ke-32, apabila Al-Mardi dengan mudah menewaskan penjaga gol negara, Syihan Hazmi dengan menampan bola hasil hantaran lintang daripada Al-Naimat untuk jaringan ketiga jordan.

Peluang terbaik Malaysia untuk merapatkan jurang hadir pada masa kecederaan babak pertama, apabila Stuart Wilkin membuat rembatan kaki kiri yang hampir menewaskan penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila, namun tersasar ke sebelah kiri pintu gol. Keputusan 0-3 kekal pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan dua pemain naturalisasi negara, Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh, serta Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dalam usaha memberi saingan kepada Jordan.

Biarpun terdapat peningkatan dalam corak serangan pasukan negara, namun gol masih sukar untuk dihasilkan dengan beberapa percubaan menarik berjaya diselamatkan penjaga gol Jordan.

Ketika Harimau Malaya sedang rancak memburu gol, penderitaan pasukan negara ditambah lagi apabila Al-Tamari sekali lagi dengan mudah menyempurnakan rembatan lambung yang menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-85.

Episod tewas di tangan Jordan ini perlu dilupakan segera oleh anak buah Kim Pan Gon, kerana masih ada baki dua perlawanan peringkat kumpulan yang perlu dihadapi, iaitu bertemu Bahrain Sabtu ini di Stadium Jassim Bin Hammad, sebelum menutup saingan kumpulan E dengan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Kejohanan edisi kali ini merupakan penampilan keempat skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia.
Dalam pada itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hammad, Korea Selatan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bahrain.

-AK-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda