
Laporan/foto: Marianne Inya Thomas (Sarawak)
KUCHING 18 Jan (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melawat tapak semaian alga di Demak Laut, di sini hari ini.
Sejurus ketibaan baginda telah diberikan taklimat mengenai teknologi alga oleh Pengurus Besar (Pusat Kepakaran Lanjutan) Teknologi Kumpulan dan Pengkomersilan Penyampaian Projek dan Teknologi, PETRONAS Adam Nasir Nawi.
Teknologi Alga mempunyai potensi yang amat besar untuk melonjakkan ekonomi Sarawak pada masa hadapan selain penggunaan alga atau lumut sebagai bahan api alternatif dilihat mampu mengurangkan gas rumah hijau dan pembakaran api fosil yang berterusan.
Terdahulu, Tengku Hassanal telah melawat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh semalam di mana baginda telah berkenan menyertai aktiviti Orang Utan ‘Feeding Time’ sebelum berangkat ke Shelter Bridge.
Ketika berada di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, baginda turut telah dipersembahkan dengan taklimat ‘Forest Protection/ State Parks’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Forestry Corporation (SFC) Abang Arabi Abang Aimran.
Tengku Hassanal turut telah berkenan mendengar taklimat ‘Sarawak Climate Change Plans and Nett Zero Strategy’ oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Abang Ahmad Abang Morni.
-ZS-