Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Wayang Pacak Memeriahkan Perlawanan Bola Sepak Piala Asia 2023

By 22 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Sazarina Mohd Noor

PANDAN, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Komuniti Madani Teratai dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jawatankuasa Penduduk telah mengadakan Program Wayang Pacak Sempena Piala Asia 2023 di Padang Pandan Mewah malam kelmarin.

Menurut Ketua Komuniti Teratai Mohamad Firdaous Mohamad Arif, 32, program wayang pacak ini diadakan bagi menggamit semula memori masyarakat setempat sewaktu menonton wayang pacak seketika dahulu.

“Penganjuran program wayang pacak ini juga bertujuan bagi memberikan sokongan kepada pasukan negara yang sedang beraksi dalam saingan kumpulan Piala Asia 2023.

“Sokongan yang padu dapat dilihat dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang menyaksikan perlawanan itu tadi,” katanya.

Salah seorang penonton Hasbullah Umaruddin, 42, menyatakan program seperti ini perlu diteruskan bagi merapatkan silaturahim di antara penduduk.

“Program secara santai ini dapat memberi impak kerana sukan menyatukan semua pihak tanpa mengira kaum. Semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan Harimau Malaya menaikkan lagi sokongan kepada mereka,” ujarnya.

Perlawanan bola sepak di antara Malaysia dan Bahrain berkesudahan dengan pasukan negara ditewaskan Bahrain dengan jaringan 0-1.

Harimau Malaya akan menentang Korea Selatan pada 25 Januari ini pada pukul 7.30 malam waktu Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda