
Laporan/foto: Muhammad Sufian Md Rashid/Fong Jia Lung (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 130 orang peserta terdiri daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun dan wakil-wakil jabatan telah menghadiri Program Wacana Cendekia 1 ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Zon Utara di Galeri Ilmu, DBP Wilayah Utara, di sini semalam.
Selain pameran risalah dan buku yang diterbitkan oleh DBP, salah satu aktiviti yang menarik tumpuan peserta adalah Wacana Cendekia. Tiga panel dijemputan khas untuk berkongsi pengetahuan bahasa serta menjelaskan fungsi dan peranan DBP.
Antara kupasan isu yang dibahaskan adalah kepentingan Bahasa Melayu kepada masyarakat, aspek penterjemahan bahasa dan pertuturan bahasa yang diamalkan seharian menarik minat peserta yang hadir.
Menurut Ketua Pengarah DBP Dr. Hazami Jahari, mendaulatkan Bahasa Melayu bukan tugas DBP semata-mata tetapi turut digalas oleh warga Malaysia tidak kira apa bangsa sekali pun demi mempertahankan Bahasa Melayu.
“Dengan ini DBP mengharapkan usaha sama serta sokongan padu dari pihak kementerian, jabatan dan agensi untuk bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu kerana inilah Bahasa Kebangsaan yang harus dikekalkan pada masa akan datang,” katanya.
Seorang peserta Faizal, 42, berkata wacana ini sangat memberi manfaat dan pendedahan betapa pentingnya mencintai dan memartabatkan Bahasa Melayu supaya dikenali di serata negara.
“Sebagai orang Malaysia kita haruslah memperkasa penggunaan Bahasa Melayu supaya ia tidak ketinggalan zaman,” katanya.
Turut hadir Pengarah DBP Wilayah Utara Armin Azhari Saleh, Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Sabri Said serta Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang Dato Anuar Ahmad.
-ZS-