
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Seawal pukul 8.00 pagi, para pengunjung mula membanjiri Jualan Agro Madani yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran di Perkarangan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Kemaman (APM), di sini semalam.
Barangan keperluan dapur seperti beras, ayam, telur dan minyak masak yang dijual oleh para usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu menjadi tumpuan para pengunjung yang hadir.
Salah seorang pengunjung Abdul Hanif Zainudin, 36, berharap program sebegini perlu lebih kerap diadakan agar dapat membantu rakyat berjimat cermat.
Sementara itu, Asrul Alwi, 47, seorang pesara tentera berharap kerajaan tidak menghadkan jumlah pembelian barangan terutamanya beras kerana pengunjung yang hadir sangat ramai setiap kali program tersebut diadakan.
Pengarah FAMA Negeri Terengganu Muhamad Fadlee Hassan, berkata lebih 1,000 orang pengunjung hadir di Jualan Agro Madani untuk membeli pelbagai barangan yang dijual.
“Kami menyasarkan 400 program Jualan Agro Madani dilaksanakan pada tahun ini di seluruh negeri Terengganu dengan jangkaan hasil jualan RM5 juta.
“Setakat Februari sebanyak RM1 juta hasil jualan telah direkodkan di seluruh negeri Terengganu di bawah program ini,” katanya.
Pelbagai agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pejabat Daerah Kemaman (Kaunter Hasil) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membuka reruai pameran.
-ZS-