
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim dan Sharon Kung (foto) (Sabah)
KOTA KINABALU, 29 Feb (Malaysiaaktif) – Pendedahan kepada semua warga jabatan dan agensi kerajaan dalam menghadapi kebakaran dan situasi kecemasan perlu dipergiatkan terutama menerusi latihan kebakaran.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Linda Eslao Wagis, berkata kekerapan latihan kebakaran seperti ini juga perlu ditingkatkan bagi memastikan kakitangan semasa didedahkan dengan prosedur keselamatan yang tepat dan terkini.
“Semua warga jabatan dan agensi kerajaan perlu diberi pendedahan dengan lebih giat untuk menghadapi kebakaran selain prosedur yang selamat ketika menghadapi situasi kecemasan, sebab itu hari ini kita lakukan latihan kebakaran.
“Adalah baik sekiranya setiap agensi dapat mengadakan ‘fire drill’ (latihan kebakaran) sekurang-kurangnya dua kali setahun agar kita sentiasa peka dan bersedia dalam apa jua situasi,” katanya ketika sesi latihan kecemasan bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah kerjasama BBP Penampang, di sini semalam.
Sementara itu, Penerbit Rancangan Radio RTM Zalinah Usop percaya latihan kebakaran berkenaan memberi pendedahan yang lebih jelas kepada kakitangan selain pengurusan kecemasan melibatkan kanak-kanak.
“Latihan kebakaran seperti ini mendidik kita untuk sentiasa berwaspada dan bersedia terhadap apa jua kecemasan kebakaran yang mungkin berlaku di kawasan pejabat.
“Ibu seperti saya, tindakan awal kita lakukan ialah memaklumkan kepada anak-anak langkah-langkah menghadapi kecemasan dengan kaedah yang mudah difahami agar boleh mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak bomba,” ujarnya.
Latihan kebakaran yang dilaksanakan ini turut melibatkan 20 anggota BBP Penampang dan pasukan Bomba Sukarela Penampang dengan melibatkan 600 warga Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi daripada Jabatan Penerangan Sabah (JaPen), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) selain penghuni taska serta pekerja kantin.
-ZS-