
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Haziqah Nabilah Zainon (Kerian)
BAGAN SERAI, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Daerah Kerian menjadi destinasi kedua dalam siri jelajah Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2024 di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini pada Khamis.
Sebanyak 125 aduan diterima sepanjang program berlangsung dan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri meneruskan tradisi turun padang bagi menyelami permasalahan dan menyantuni masyarakat setempat sejak dilaksanakan pada tahun 2022.
Menurut pengunjung, Aziz Noor, 57, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad sangat terbuka mendengar keluhan rakyat dan berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi secepat mungkin.
“Saya hadir pada hari ini bagi mengadu permasalahan mengenai baki pampasan tanah milik saya dan rakan-rakan di kampung.”
“Saya sangat berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada Datuk Seri dan sangat teruja apabila dapat berkomunikasi secara bersemuka dengannya,” katanya yang datang dari Kampung Dennistown.
HBP kali ini melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan, lima kaunter bergerak dan 12 reruai pameran.
-ZS-