
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Nasharuddin Mohd. Shah
KOTA TINGGI, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Yok! Berkhatan DUN Johor Lama meriah dengan penyertaan seramai 70 kanak-kanak di Dewan Muafakat, Taman Pasak Indah, di sini kelmarin.
Program dimulakan dengan menyambut kedatangan kanak-kanak secara berarak mengelilingi kampung, tahlil ringkas dan acara bersiram oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Kota Tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama Norlizah Noh, berkata program bertujuan mendidik dan mematangkan anak-anak sebelum mereka melangkah ke alam remaja.
“Selain itu, program ini adalah salah satu program prihatin pemimpin kepada masyarakat.
“Program pada kali ini merupakan tahun kedua program ini diadakan di DUN (Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama.
Katanya, program tersebut bertujuan membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan serta sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam mengkhatankan anak-anak ekoran kos berkhatan yang meningkat.
“Program ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dan jumlah peserta berkhatan akan ditambah pada masa akan datang,” ujarnya.
Yok! Berkhatan merupakan usaha sama antara Pusat Khidmat DUN Johor Lama, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pasak Indah, Majlis Daerah Kota Tinggi, Klinik Kesihatan Daerah Kota Tinggi, JBPM Daerah Kota Tinggi serta Guru-Guru Besar Sekolah Kebangsaan di kawasan DUN Johor Lama.
-ZS-