Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Prinsip Keluhuran Perlembagaan Pelihara Martabat Perundangan Malaysia

By 22 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Amirah Abd Rani/Noor Haswan Noor Azman

TUNJONG, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Pembatalan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada 9 Februari lalu tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Haji Nik Saiful Adli Burhan, berkata Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, sekiranya berlaku percanggahan di peringkat Persekutuan, maka sesuatu peruntukan atau enakmen yang wujud akan terbatal dan tidak sah untuk diguna pakai seperti contoh kes Nik Elin Zurina terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019,” katanya.

Katanya lagi, pembatalan yang berlaku sedikit sebanyak telah mengangkat martabat perundangan Malaysia berikutan fungsi semak dan imbang di peringkat persekutuan.

“Pembatalan yang berlaku adalah berikutan percanggahan enakmen di bawah perundangan syariah iaitu hukum takzir yang wujud melalui buah fikiran dan perbincangan pemerintah di negeri,” katanya ketika menjadi panel di Forum Jiwa Madani : Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah Di Malaysia di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini semalam.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan Wan Adam Al-Baqir Mohd Nordin selaku panel kedua, berkata agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan Mahkamah Sivil mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang percanggahan dan pembatalan sesuatu enakmen tidak akan menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah kerana perubahan yang dilakukan adalah berdasarkan tafsiran undang-undang berdasarkan perlembagaan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kelantan Haji Zamri Zainal Abidin, berkata forum ini diadakan bagi menangani persepsi negatif masyarakat dan memberi pendedahan berkenaan kedudukan Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda