Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Suri Rumah Digalak Carum SKSSR

By 22 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 22 Mac (Malaysiaaktif) –Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari menggalakkan semua suri rumah untuk mencarum di Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang disediakan kerajaan.

Katanya, saranan berkenaan memandangkan golongan berkenaan kurang mendapat pembelaan serta sentiasa terdedah kepada risiko kecederaan atau kemalangan ketika menguruskan keluarga.

“Kerajaan Persekutuan melalui Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) sebenarnya dapat melindungi seseorang suri rumah yang menguruskan anak-anak dan rumah tangganya.

“Suri rumah ini adalah satu pekerjaan yang perlu dilindungi dan Kerajaan Selangor akan pakejkan tentang dasar perkhidmatan penjagaan ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer.

Beliau berkata demikian semasa ditemui semasa menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat kepada waris seorang suri rumah sepenuh masa, mendiang Sivakami Selvi, 48 tahun di Bukit Beruntung, di sini semalam.

Mendiang meninggal dunia pada 13 Februari lalu, merupakan salah seorang daripada pencarum SKSSR dibawah tajaan inisiatif kerajaan berdasarkan pangkalan data e-Kasih.

Turut hadir Pengarah PERKESO Selangor Ismail Abi Hashim dan Pengurus PERKESO Rawang Khairul Mizan Md Said.

SKSSR diperkenalkan pada 1 Disember 2022 bukan sahaja memberi perlindungan terhadap kematian dan penyakit kronik malah turut meliputi kemalangan semasa menguruskan rumah tangga.

Faedah SKSSR juga termasuk kemalangan semasa menghantar anak sekolah, membeli barangan keperluan harian di pasar serta aktiviti menguruskan rumah tangga di dalam rumah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda