
Laporan/foto: Irina Abd Samad/IPK Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Allaudeen Abdul Majid yang akan bersara pada 1 April ini.
Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Turut berlangsung, majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur, antara Datin Dr. Kamariah Omar dengan Datin Zuraini Abd Razak.
Sementara itu, Allaudeen berharap kepada yang masih berkhidmat meneruskan perjuangan, menjaga integriti dan nama baik pasukan Sang Saka Biru ini agar terus berkibar megah.
“Elakkanlah diri dari terjerumus melakukan perkara-perkara negatif. Saya akan bersara wajib pada 1 April setelah berkhidmat selama 38 tahun sembilan bulan berakhir 31 Mac ini.
“Rakan-rakan seperjuangan yang bersama saya selama ini adalah keluarga besar saya. Persaudaraan dan persahabatan ini akan terus kekal selamanya kerana pasukan ini adalah darah daging saya,” katanya.
Pada masa sama, Razarudin mewakili pasukannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allaudeen atas jasa dan baktinya yang berkhidmat hampir empat dekat dan isteri Datin Dr. Kamariah Omar.
“Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Komisioner Polis Datuk Rusdi Mohd Isa di atas kenaikan pangkat dan menerajui Kontijen ini sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
“Saya yakin dengan pemilihan yang tepat dan pengalaman yang luas dimiliki Datuk Rusdi mampu menggalas urus tadbir dan tatakelola bagi menerusukan kecemerlangan Kontijen Kuala Lumpur,” ujarnya.
-ZS-