
Laporan/foto: Ismail Hassan/M. Sures Maniam (Kota Setar)
ALOR SETAR, 1 Mac (Malaysiaaktif) – ‘Urban Transformation Centre’ atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang merupakan satu usaha dan inisiatif kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan swasta di dalam satu bangunan terus menjadi pilihan masyarakat di sini.
UTC juga turut berperanan sebagai pusat setempat bagi pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan sebagai pusat kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara agensi yang mencatat bilangan pengunjung tertinggi ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Lembaga Tabung Haji (TH) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga kaunter Imigresen.
Bagi pengunjung Azuddin Othman, 45, seorang peniaga dari Alor Janggus, kewujudan UTC ini banyak membantu memudahkan urusan hariannya.
“Disebabkan semua agensi berada di bawah satu bumbung ia memudahkan saya untuk membuat pembayaran bil elektrik, air, telefon selain boleh mendapatkan ubat sekiranya tidak sihat,” katanya semalam.
Menurut beliau lagi adalah lebih baik jika disediakan kaunter fizikal pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memudahkan orang ramai dan pengunjung untuk mengemas kini maklumat mereka.
-ZS-