
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Bengkel Pemerkasaan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Parlimen Pendang bersama Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 telah diadakan pagi ini bertempat di Dewan Cenderawasih, Pendang.
Seramai lebih kurang 200 orang peserta yang terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha JPKKP dalam Parlimen Pendang telah menghadiri majlis tersebut.

Peserta bengkel mendengar taklimat berkenaan penyediaan kertas kerja projek dan program
Ketua Cabang Keadilan Pendang, Dato’ Dr Zulkifli Mohamed dalam ucapannya menyeru agar semua peserta memberikan kesungguhan dalam melaksanakan tanngungjawab yang telah diberikan ini.
“Apabila JPKKP dapat melaksanakan tugas dengan baik, maka JPKKP akan disegani, dihormati dan akan memberikan imej yang baik kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Hajah Suraya Yaacob, Ketua UMNO Bahagian Pendang, beliau berharap semua peserta akan lebih memahami tugas masing-masing dan seterusnya mampu melaksanakan tugas dengan baik.
“Melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, terdapat banyak peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dinikmati oleh penduduk kampung.
“Inilah masa dan ketikanya semua JPKKP melaksanakan tugas dan mengambil tahu hal rakyat di kampung, oleh itu peserta diminta untuk membuat permohonan dengan menyediakan kertas kerja cadangan program atau projek kepada pihak ICU,” jelasnya.

Peserta taklimat yang terdiri daripada pengerusi dan setiausaha JPKKP
Majlis yang bermula pada pukul 9 pagi itu turut melibatkan perkongsian informasi dan taklimat oleh jabatan dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Pendidikan, Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.
-AA-