
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan
LABUAN, 19 Mei (Malaysiaaktif) – 16 inisiatif berkaitan belia di dalam Belanjawan 2024 membuktikan kerajaan menghargai peranan golongan belia negara ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek kerajaan bukan sahaja memberikan penghargaan dan juga pengiktirafan kepada golongan belia, malah turut menyediakan pelbagai insentif dan peruntukan dalam pelbagai perkara.

Simsudin (tiga dari kanan) menyerahkan hadiah kepada salah seorang penerima APBN 2024.
“Kerajaan sekarang cakna dan prihatin apabila terdapat 16 hadiah kerajaan kepada belia dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, termasuk TVET (Pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Belia, Sumbangan Tunai Rahmah Untuk Belia, Pendidikan Tinggi Belia, Pembangunan Belia, Sukan dan Rakan Muda.
“Perbadanan Labuan juga turut menyediakan dan melaksanakan pelbagai aktiviti belia, sukan dan rakan muda disamping sentiasa bersama-sama menjayakan program dan inisiatif agensi-agensi kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau swasta khususnya untuk golongan belia di Labuan,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024, di sini semalam.

Kira-kira 100 peserta menyertai Fun Ride sempena HBN 2024.
Tambahnya, tema sambutan HBN pada tahun ini ‘Yakin Boleh’ mengajak golongan belia masa kini perlu yakin pada diri dalam menghadapi dan mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan selain menekankan prinsip yakin boleh dalam setiap perkara terutamanya memberi sumbangan melalui idea, tenaga dan masa bagi membangunkan potensi diri serta negara.
Pada majlis itu Simsudin turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024.
-ZS-