
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Perniagaan air tebu secara kecil-kecilan bersama keluarga menjadi titik permulaan perniagaan yang diusahakan Mohd Syaiful Aizam Azizi, 38, yang dikenali dengan nama Ejam Tebbu Project.
Beliau ketika ditemui kelmarin memaklumkan bahawa hanya bermodalkan RM600 dan dengan menggunakan payung sahaja, beliau memberanikan diri untuk memulakan perniagaan tersebut.

Ejam Tebbu Project, Tanah Merah, Pendang.
“Saya mula menjinakkan diri dalam perniagaan air tebu ini sejak berusia 15 tahun dan tanpa disangka-sangka ia berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Kerana mendapat sambutan yang semakin baik, keluarga memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk mempelbagaikan jualan kepada kuih-muih dan makanan sedia dimakan,” jelasnya.
Ejam Tebbu Project yang terletak di jalan utama dari Pendang ke Tanah Merah ini beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dengan khidmat 11 orang pekerja.

Pelbagai jenis makanan yang tular terdapat di sini.
“Selain beroperasi di sini, kami juga turut menerima tempahan penyediaan air minuman dan kuih-muih untuk kenduri kahwin, majlis akikah dan majlis kesyukuran.
“Semakin hari, semakin ramai orang yang berkunjung ke kedai kami kerana makanan dan minuman yang terdapat di sini dijual dengan harga yang berpatutan iaitu serendah 50 sen sehingga RM3 sahaja,” jelas Aizam.
-ZS-